Selasa, 30 Disember 2008

Of The Kitties and The Mother

Bila Encik Kelambu cakap pasal anak kucing, otak aku pun sampai ke rumah. Teringat Mak Kucing dan anak-anak. Baru two-week old. Harap-harap mereka dapat membesar sebagai johan. Dan janganlah pula diambil dek Mak Cik Datin (Nama dia memang Datin. Tinggi betul cita-cita mak ayah mak cik ni. Haha. ) yang kerja sebelah rumah lagi. 

Dulu. Mak saudara budak-budak (the kittens)  tu dibawa balik oleh anak-anak Mak Datin tu. Bila minta dipulangkan, alasannya, "Budak-budak tu tak bagilah cikgu. Diorang dah suka betul dengan kucing tu." 

Kenapa mahu mem'benar'kan anak kalau yang dibuat tu dah salah. Melentur buluh tu kan harus mula seawal dari rebungnya.  

Nota tambah:

  1. Selamat tahun baru Hijriah dan Masehi. Selamat jumpa cabaran baru, dan selamat jumpa umur baru. =]
  2. Untuk 2009, dua kad jemputan kahwin dah sampai ke tangan. Oke, siapa lagi nak kawen ni? Boleh aku datang dan peluk cium pengantin perempuan. Ambil berkat. Ha ha ha!

Jumaat, 26 Disember 2008

Kisahnya Chikugunya


Demam Chikugunya. Dalam keluarga, Mak dan aku saja yang masih immune penyakit dari Tanganyika itu. Oleh kerana tiada ubat khusus untuk demam ini, alternatif untuk sembuh ialah handred plas dan parasitamol saja. Tiada yang ke hospital gomen. Jadi kes keluarga kami tak termasuk dalam beratus kes yang dilaporkan. Alahai.


Nota tambah:
  1. Sebab susah sangat nak sebut perkataan alah ni, kakak sepupu aku sebut "ciku kunyah" je. Ha ha.

Khamis, 25 Disember 2008

Kisah KLIA, Haji dan Hajjah.






I.
Malam sudah, kami (Abah, Mak, Tina dan aku) ke KLIA. Menjemput ayah dan umi (Cik Anip & Cik Izzah) Afaf dan Ahnaf bersaudara pulang dari haji. Sayu betul aku tengok bila umi dan ayah itu mencium anak-anak mereka bertalu-talu.

Padahal budak-budak tu sebenarnya teruja dengan cerita mereka tentang patung Ultraman, Barbie yang baru beli dan macam-macam makhluk lagi yang namanya mainan. Si bongsu Asma' pula dah semacam terlupa dengan uminya. Menangis bila diriba Cik Izzah. Esok-esok, okelah tu.


II.
"Tiqah, dalam beg ni ada anak unta tau. Abah bawak balik."

Itu dulu. Pak cik aku kenakan aku masa kami baru pulang jemput Abah dan Mak balik haji. Masa aku darjah tiga. Sebab aku masih kanak-kanak, haruslah aku hampir percaya.

Lalu semalam, aku kenakan pula si Ahnaf. "Ahnaf, dalam ni kan, ayah bawak anak unta. Meh sini pegang kaki dia."

Semangat budak tu picit-picit bahagian bawah beg tu sebab nak rasa kaki anak unta. Ha ha ha!


III.
"Nanti dah kahwin, pesan kat suami awak. Kumpul duit siap-siap untuk haji. Pergi waktu muda, tenaga masih banyak. Kan senang," Abah. Pesan awal-awal.

Ahad, 21 Disember 2008

Terkejut dan Tergelak.

Hari ni kami ada dua orang sepupu datang ke rumah. Nain dari Sabah, dan Muhaimin yang ditinggal seminggu oleh ibu ayahnya ke YuKe. Juga Afaf dan Afnan bersaudara yang dah sedia ada di rumah sebab ayah dan umminya ke Mekah.

Dan. Tadi petang aku bersakit perut tengok adik-adik sepupu menjerit keterkejutan. Si Muhaimin terkejut sampai menangis-nangis.

video
Ini aksi mereka terkejut.




Dan ini video yang buat mereka terkejut. Ha ha! Adeh deh.




Aku mati-matian gelak. Tapi sebenarnya aku tak tengok pun video tu. Well, aku kan segan dengan hantu. Heh.

Jumaat, 19 Disember 2008

What a Sweet Emi Do We Have.

Kalian pernah jumpa tak, orang yang kadang-kadang (atau selalu) buat kau annoyed sungguh-sungguh. Tapi pada satu titik, tindakan dia jadi sangat sweet dan buat kau senyum semanis nektar pada buah epal.


KOMA.


Bila aku kemas-kemas kotak bukunya, aku jumpa kad Selamat Hari Raya. Oh. Ada pantun depan kad hijau muda buat sendiri itu.

"Isnin dulu baru Selasa,
Senyum dulu baru baca."

Klik gambar untuk baca. Aku malas mau re-type. Hihi.


Tadi, bila dia perasan aku pegang kad yang warnanya kegemaran aku. Dia sengih-sengih kerang dan menyorok belakang abangnya. Tersipu-sipu. "Malunya Emi!" Dia ketawa. Aku, mak dan Tina juga.

"Kenapa Emi tak buat untuk Kak Tina juga?" Emak.

"Sebab Kakak paling jauh," Emi.

What a sweet Emi do we have. :)




Nota kaki:
  1. Si bongsu itu emosinya turun naik sebulan dua ini, bila tiba-tiba dia didatangi dua orang sepupu yang lebih adik. Cemburunya menjadi-jadi.
  2. Aku kena tunggu dia tidur baru boleh buat entri ni. Haih.

Selasa, 16 Disember 2008

Dari Johor ke Kedah.

Aku. Yang namanya cuti, jalan-jalan itu harus. Sama ada kau keputusan cintakah, atau kedapatan result exam yang terukkah, mahupun apa-apa tragedi hati, jalan-jalan itu harus sewaktu cuti. Eheh.


I.
9/12 - 11/12

Ke Melaka dan Johor. Mengikut keluarga pak cik yang pulang ke semenanjung dari Sabah. Tiga hari bersosial dengan kanak-kanak. UH.

"Kak Tiqah kira sampai sepuluh. Siapa tak tidur Kak Tiqah cubit!" Maka mengira-ngiralah aku sampai sepuluh dan bilik yang gelap tu senyap-sunyi sampai pagi. Hahah!


II.
13/12 - 14/12

Seperti yang diberitahu sebelum ini, aku, Ina dan Tina pergi ke dua majlis resepsi dan ke satu majlis pakai mekap Maskara. Cantik-cantik pengantinnya.

Untuk Maskara. Cerita Abang Mat Jan aku suka sebab dia meleret-tapi-penuh-pengisian-dan-buat-aku-senak-perut. 3 in 1. Susah tu kau nak jumpa. Heh. Persembahan-persembahan malam tu memang tabik spring absober keretalah.



Dan yang paling seronok bila Cik Taf Teh membuat sedekah buku-buku beliau. Dapat buku tanpa beli! Wow. Dapat jumpa dia, Kak Nisah dan Munh mata sepet pun seronok juga. :-D

Dalam kulit kacang (In a nutshell), malam itu memang kami enjoy. Kredit paling besar, tentulah untuk Kak Nida yang sudi rumahnya ditumpangi. Ada rezeki nanti, kami tumpang rumah akak lagi ya. Hehe.


III.
14/12 - 15-12

Sesampainya di rumah dari KeEl, aku humban baju kotor ke mesin basuh. Ambil baju lain dan terus ke Kedah. Hantar pengantin kakak sepupu di Baling. Pihak lelaki dah carikan rumah penginapan di sana.




Pagi Isnin, sebelum majlis, kami sempat ke Kolam Air Panas Ulu Legong. Aku rendam kaki sampai buku lali sudahlah. Dalam perjalanan balik, kami melangsungkan acara tidur beramai-ramai kecuali abah yang tengah demam Chikugunya tapi kena pandu kereta. Alahai.

Sabtu, 13 Disember 2008

Sabtu. Ada dua majlis resepsi. Mula-mula di Tanjung Karang. Kemudian di Kampung Cheras Baru. Dan satu lagi, majlis mekap Maskara.



Marilah mari pergi Maskara,
Jangan lupa kewajipan pada negara.
HAHAH.



*********

Kecewa paling besar malam ni, bila aku tak dapat mencetak gambar untuk Puan Pengantin Baru sebab dakwat pencetak habis sudah. Harap-harap, dalam perjalanan ke majlis resepsi esok, kami boleh jumpa kedai gambar. Penat edit tau. Haih.

Jumaat, 12 Disember 2008

Siapalah Aku.

Hari itu. Pagi itu. Kamu teruja dengan perancanganmu. Itu hari yang seronok buat kamu. Segalanya sudah siap. Teratur. Rapi.

Tapi dalam satu saat. Atau kurang. Hancur. Semuanya rancangan kamu. Atas sebab yang kamu tak pernah fikir sepicing waktu pun.

Lalu kamu marah. Hampa. Geram. Kamu lepaskan pada kotoran di bilik air. Setiap satu bintik hitam di mozek. Kamu sental dengan hati sebal. Adalah satu atau tiga kata sumpahan kamu sempat lepaskan.

Selepas bilik air tu licin. Berkilau-kilau. Hatta anak mata hitam pun kamu boleh nampak. Baru kamu teringat Tuhan. "Kun fayakun," kata Tuhan. Kamu merancang. Dan Tuhan itu sebaik-baik perancang.

Isnin, 8 Disember 2008

Aku suka Aidiladha sebab tempoh bertakbir lebih panjang dari Aidilfitri.

Dulu-dulu. Di kampung Sungai Manila, ada seekor lembu. Oke, mari kita beri lembu tu nama Mentega. Oh. Kalau kau tak suka nama Mentega tak apa. Kau boleh letak nama Butter ke, Planta ke. Samprit pun boleh.

KOMA.

Dikisahkan, Mentega yang dibela dari kecil oleh tuannya, Pak Mawar. Tahun itu dipilih untuk dikorbankan. Maka diaraklah Mentega ke masjid untuk disembelih. Tapi, mungkin kerana Mentega dapat rasa yang dia akan disembelih, berterabur langkah Mentega berlari ke arah bertentangan. Dia tidak mahu dijadikan korban.

Habis sudah tenaga Pak Mawar tarik Mentega. Pasrah Pak Mawar. Mentega degil tak mahu menurut.

Akhirnya, Pak Mawar bersuara, "Lembu, sudahlah tu. Kau dah bukan milik aku. Kau milik Allah."

Serta merta hati Sang Lembu jadi cair bak mentega dan berpatah balik menuju ke masjid. Alahai Mentega.


Salam Aidiladha untuk kalian. =)

Rabu, 3 Disember 2008

Anugerah Colan Tak Popular


Persembahan kami malam itu. Untuk BIG. Kami jadi juara. Yay!

Di bawah ada flow lakonan kami. Boleh lah diguna-pakai untuk kalian yang akan atau mungkin akan pergi mana-mana camp yang meminta anda mempersembahkan bakat terendam masing-masing.


Awas :
Entri panjang dan kandungan akademik dari entri adalah diragui.
Sila teliti jam anda.



Hos : Aznol Haji Nawawi dan Linda Off.

Penaja : Kopi Abang Power dengan slogan "Hari-hari mesti power."


I.
Aznol dan Linda berbual, sambil buat lawak ala kadar. Kemudian mengumumkan colan-colan untuk Anugerah Berita dan Dokumentari Tak Popular.

(Wartawan melaporkan untuk Tivi Jemput-Jemput. Since nama kumpulan kami Jemput-jemput.)


II.
Colan untuk laporan alam sekitar.
Wartawan : Karam Kapal Karam (KKK)


Berita : Penduduk Taman Cekodok membuat bantahan tentang lembu-lembu tiada tuan yang suka membuang najis merata-rata. Dua penduduk ditemu-ramah, Puan Atiqah dan Miss Choo Choo. Puan Atiqah tak dapat beri komen kerana tak tahan dengan bau busuk. Miss Choo Choo menjawab dalam bahasa Mandarin. KKK dan Miss Choo Choo berbual dalam bahasa ibunda masing-masing. KKK menterjemah komen Miss Choo Choo, "Lembu-lembu tersebut patut dibinakan tandas awam dan ajar mereka untuk menarik pam tandas."

Poster yang diangkat oleh penduduk :
  1. "Bina tandas awam untuk lembu-lembu!"
  2. "Mana tindakan pihak berkuasa?!!"
  3. "I love Hadafi" - Hadafi ialah ketua fasilitator kami yang macho. Hak hak.


III.
Colan untuk laporan sukan : Masihkah Ada Harapan Atlit Kita Meraih Emas?
Wartawan : Cik Zizie Yanty


Berita: Cik Zizie menemuramah dua orang atlit yang sibuk membuat warming-up. Dua peserta bakal berentap. Yang menang akan mewakili Malaysia. Salah seorang atlit, Mizi a.k.a group leader kami, telah membuat persediaan dengan tiga cara - bertapa di Gua Musang selama tiga bulan 12 saat, mendaki Gunung Everast dua kali berturut-turut dalam masa dua hari, dan Qiamullail pada tengah malam. Di akhir klip video, mereka mula berlawan. Dalam acara BATU SEREMBAN!


IV.
Colan untuk laporan kaji cuaca.
Wartawan : Cik Hana Naseru.

Wartawan bahasa Isyarat : Cik Surati.

Pelakon latar : Miss Yong


Berita: Dilaporkan, di bahagian Pantai Timur. Angin kencang gila. Sila ambil langkah berjaga-jaga. Miss Yong di belakang melakonkan aksi penduduk yang berjalan menempuh angin dan hujat lebat dengan payung dan baju hujan. Manakala di bahagian Sabah Sarawak, panas melampau hingga 70 darjah selsius. Miss Yong kepanasan. Keluarkan telur ayam dari poket, letak di dahi, dan. Telur itu masak dan Miss Yong terus memakannya!

(Aksi terlebih-lebih bolehlah dibuat untuk menghiperbolakan keadaan.)

Sebelum mengumumkan pemenang, kami ramai-ramai menyanyikan lagu Man Bai - Kau Ilhamku. Pitching kami memang berlari ke langit. Selepas menyanyi. Aznol dan Linda mengumumkan bahawa pemenang adalah tiada. Lalu, mereka berdua dikejar oleh colan-colan yang marah. (Nasib baik aku tak jatuh masa nak terjun pentas weh!)

Tammat.


Cerita di atas adalah rekaan semata-mata. Tiada kena-mengena dengan makhuk yang hidup, koma, atau yang telah tiada.