Hari Jumaat. Atira tak sekolah agama. Sebab kawan-kawan sekelasnya ramai yang pergi perkhemahan. Jadi, pelajar tahap dua dicutikan. Emi jeles. Dia pun tak mahu ke sekolah. Emi nak tengok Wonder Pet. Emi mahu jerit, "Wonder Pet, Wonder Pet, kami datang!"
Emi merayu kat mak. Dia tak mahu ke sekolah agama. Walhal sekolah agama tak sampai 200 meter pun jauhnya.
Emi buat taktik keji. Pura-pura tidur. Cara paling selamat untuk buat-buat tak sedar yang waktu persekolahan dah mula. Mak pun balas dengan taktik keji juga.
"Oo, buat-buat tidur ya. Nanti tengoklah, kalau roh Emi tak nak balik nanti. Emi tak bangun-bangun. Ha, macam mana. Semua orang tak nampak Emi. Emi panggil mak pun mak tak dengar. Emi nak makan pun, makanannya tembus. Buatlah macam tu."
Eman bila dengar mak membebel, tanduk di kepalanya pun terjulur-julur keluar. Jadi batu api. Tak semena-mena kami terdengar suara orang menangis mengilai-ngilai. "Huuu....." Air mata Emi meleleh-leleh. Ahh, sudah.
Taktik keji mak menjadi. Eman pun tanduknya makin tinggi. Melihat Emi menangis adalah kejayaan besar untuk si batu api. Abah balik dari masjid baru suara mengilai itu berhenti. Alahai.


